KETIKA Iron Will mengetuk paku besi sepanjang kira-kira enam sentimeter dengan tukul ke dalam rongga muka melalui lubang hidungnya, semua penonton di ruang legar Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur yang terdiri daripada kanak-kanak menjadi seriau.
Kemudian, seorang kanak-kanak dijemput bagi mencabut kembali paku tersebut. Sambil cuba untuk menyembunyikan perasaan takut, kanak-kanak tersebut dapat juga mencabut paku tersebut.
“Rasa ngilu,” jawab Iron Will atau nama sebenarnya Mohammad Hairmiwilly Mohamed Kamal ringkas tatkala ditanya mengenai rasa ketika paku tersebut ditarik keluar.
Aksinya tidak berhenti setakat itu. Lantas, dia memakai sehelai baju pasung berwarna krim yang mempunyai berat lebih kurang dua kilogram. Diperbuat daripada kanvas, ia kelihatan sudah lusuh tetapi masih berfungsi dengan baik.
Dalam masa dua minit, dia mampu melepaskan diri daripada pakaian tersebut. Lelaki yang berusia 29 tahun itu merupakan satu-satunya ahli silap mata yang mempersembahkan aksi lolos diri di Asia Tenggara.
Pada persembahan itu, Iron Will terpaksa memikir cara lain untuk menanggalkan baju pasung kerana dia memakai mikrofon bebas tangan yang disangkut pada telinga, ketika persembahan pada hari itu.
Dalam tempoh singkat, dia memusingkan bahagian belakang baju pasung berharga AS$400 (RM 1,253) itu ke hadapan. Lantas dengan cepat mencabut gancu baju dan berjaya meloloskan diri.
“Terdapat beribu-ribu cara untuk melepaskan diri. Hampir setiap kali persembahan, saya memerlukan kaedah yang berbeza bergantung situasi ketika pertunjukan.
“Paling penting, minda kita harus bertenang dan tidak boleh ada sebarang serangan panik,” ujar jejaka yang telah pun mula berjinak-jinak dengan seni silap mata sejak berumur lapan tahun.
Jika diperhatikan, rata-rata artis lolos diri termasuk Iron Will berbadan kurus. Ujarnya, seni tersebut memerlukan kelenturan dan fleksibiliti badan supaya mudah untuk melepaskan diri.
Dia masih ingat pada tahun 2005 ketika kali pertama mencuba seni tersebut, dia mengambil masa kira-kira 45 minit untuk melepaskan diri daripada baju pasung yang dibelinya dari sebuah hospital mental di Amerika Syarikat.
SEORANG kanak-kanak dijemput ke pentas untuk turut membantu Iron Will.
Katanya, selain kemahiran melepaskan diri, tempoh masa melepaskan diri sangat penting kerana ia adalah intipati seni tersebut.
Semakin susah sesuatu ikatan dan semakin cepat dapat melepaskan diri pasti membangkitkan kekaguman kepada penonton.
Rahsia Iron Will adalah latihan secara berkala. Untuk satu persembahan yang berlangsung selama 30 minit, dia akan berlatih selama dua jam sehari selama beberapa bulan.
Sepanjang latihan, dia akan membuat kajian tentang kaedah yang sesuai. Bagi satu persembahan sekurang-kurangnya dia perlu bersedia dengan tiga atau empat cara melepaskan diri.
Kini, dia mampu melepaskan diri dalam tempoh masa lebih kurang dua minit sahaja.
Bukan sihir
Selain lolos diri daripada baju pasung, lelaki berasal dari Singapura itu turut meloloskan diri dari ikatan tali, dicampak ke dalam air dan diikat dengan rantai.
“Setiap peralatan berbeza mempunyai cara yang berlainan untuk meloloskan diri. Jadi, dengan latihan sahaja kita boleh menerokainya,” kata lelaki yang mendapat jolokan Harry Houdini Asia itu.
Jangan fikir seni tersebut menggunakan sihir atau menipu mata penonton dengan kecekapan tangan. Buktinya, Iron Will pernah mengalami luka pada bahagian tangan dan parutnya masih kekal sehingga sekarang.
“Mungkin disebabkan seni ini dipopularkan oleh Harry Houdini yang sebelum itu terkenal sebagai ahli magis. Orang salah anggap mengatakan escapology (lolos diri) ada pengaruh ilmu hitam,” ujarnya.
Malah, seni yang boleh dikesan sehingga zaman purba oleh sebuah suku di Afrika itu mempunyai sebuah konvensyen yang pernah dihadiri Iron Will pada tahun 2006 di California, Amerika Syarikat.
Di sana, dia menemui idolanya dalam seni lolos diri, Steven Baker dan telah bertukar-tukar alamat e-mel serta mendapatkan nasihat.
Walaupun mempunyai latihan yang cukup dan pengalaman bertahun-tahun. Iron Will mengakui faktor keselamatan adalah paling penting dalam seni itu.
Bergantung pada skala sesebuah persembahan, dia mempunyai satu pasukan yang sentiasa bersedia jika berlaku sebarang situasi kecemasan.
Paling ramai yang pernah menjadi pasukan bantuannya adalah seramai 20 orang. Pasukan tersebut merangkumi bahagian teknikal, keselamatan, perubatan dan pembantu.
Komunikasi juga memainkan peranan penting ketika persembahan. Lelaki yang mempunyai ijazah muda dalam pengurusan perniagaan itu harus memberi isyarat dengan baik dan mudah difahami kepada pembantu jika berlaku kecemasan.
Antara muslihat dan kebenaran
No comments:
Post a Comment